KUALA LUMPUR, 21 Feb: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menasihatkan pemandu yang mendakwa disaman di Brunei Darussalam tampil memberikan bukti agar isu tersebut dapat diselesaikan pihak kementerian.
Permasalahan itu didakwa timbul susulan polisi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak lagi mewajibkan pemilik kenderaan untuk memaparkan cukai jalan.
“Saya mahu melihat dengan sendiri sama ada surat saman itu wujud, bukan kerana saya tidak percaya, tetapi jika ia wujud, ia boleh dijadikan bukti untuk kita berbincang dengan negara jiran kita.
“Tetapi jika ia hanyalah satu andaian untuk mendapat perhatian di sosial media, perlakuan ini bak kata orang Limbang, ‘galat’ kerana kita sudah membuat satu tuduhan tidak berasas di Sarawak ini.
“Jadi saya betul-betul berharap saman ini ada, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, kita telah mengarahkan ketua pengarah JPJ untuk berjumpa dengan kedutaan negara berkenaan dalam minggu ini supaya mereka jelas dengan polisi yang dilaksanakan di dalam negara kita,” kata Hasbi dalam temubual bersama TVS di sini, hari ini.
Perbincangan yang sama, tambahnya akan diadakan dengan negara jiran yang lain yang mempunyai sempadan dengan Malaysia seperti Indonesia.
Jika keraguan timbul dalam kalangan pemandu berkenaan dengan penggunaan cukai jalan dan lesen memandu berbentuk elektronik ini, pemandu boleh menggunakan cara yang lama.
“Lesen memandu boleh sentiasa dibawa atau disimpan di dalam kereta manakala untuk cukai jalan, cetakkan dan lekatkan di kereta untuk keperluan pergi ke tempat-tempat seperti luar negara dan juga kawasan yang tidak mempunyai capaian internet yang bagus,” jelas Hasbi lagi. – TVS