MIRI, 21 Feb: Kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Jambatan ASEAN bukan sahaja memberi kesan kepada pengunjung dari Brunei Darussalam, tetapi juga terhadap penduduk kampung di sekitarnya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, punca kesesakan lalu lintas di kawasan itu disebabkan oleh jumlah lorong yang terhad untuk pengguna kenderaan yang ramai melalui laluan tersebut.
“Saya telah menerima maklum balas dan aduan daripada pengguna-pengguna jalan di Plaza Tol ini di mana penduduk kampung dari dua buah kampung sini dan sebuah rumah panjang. Pada hujung minggu dan hari cuti pelepasan am, mereka menghadapi masalah kesesakan lalu lintas di sini kerana lorong-lorong di sini yang terhad. Kadangkala kereta hendak balik ke Brunei Darussalam terpaksa berbaris hingga ke bawah jambatan sampai mengambil masa dua hingga tiga jam.
“Orang kampung di sini juga terpaksa ikut berbaris sekali di belakang sana kerana tidak dapat melepasi. Sebab itulah ketua kaum di sini, Yusree, telah berhubung dengan saya,” katanya ketika ditemui TVS di Plaza Tol Jambatan ASEAN pada hari ini.
Kampung-kampung yang terkesan ialah Kampung Masjid dan Kampung Mempelam selain sebuah rumah panjang iaitu Rumah Bangau.
Melihat kepada hal tersebut, beliau mencadangkan untuk menambah lorong khas untuk kegunaan orang kampung dan pegawai bertugas bagi mengelak kesesakan lalu lintas selain menambah lampu dan garisan serta benteng supaya pengguna kenderaan mengikut lorong yang disediakan.
“Saya telah minta pengusaha yang menguruskan plaza tol di sini iaitu meletakkan papan tanda dengan lebih besar dan lampu LED, supaya mereka boleh lihat dari jauh di mana lorong untuk kereta Malaysia dan kereta asing. Kita perlu mewujudkan satu lorong khas di tepi sini, lorong ini sebenarnya untuk lorong kecemasan untuk ambulans. Jadi boleh digunakan orang kampung untuk balik dan keluar dari kampung termasuklah pegawai bertugas di Kompleks Imigresen dan Kastam.
“Kadang-kadang mereka hendak pergi balik dan tukar syif. Jadi kita mahu satu lorong khas ini yang lebih bebas dan tidak mengalami kesesakan lalu lintas serta atas jalan itu kita hendak membuat garisan dan benteng supaya kereta dapat ikut lorong dan tidak pergi ke lorong lain. Saya juga minta pengusaha sini untuk membuat sedikit pengubahsuaian lampu yang lebih terang,” katanya lagi.
Beliau juga telah berbincang dengan pihak Kastam dan pihak Imigresen bagi mempertingkatkan dan mempercepatkan pergerakan kenderaaan di Jambatan ASEAN seperti penggunaan teknologi dan elektronik.
Untuk rekod, kekerapan jumlah kenderaan yang melalui Plaza Tol Jambatan ASEAN ialah sekitar 1,000 dan boleh mencecah lebih 3,000 kenderaan terutamanya pada hujung minggu dan hari cuti awam. -TVS