KUALA LUMPUR, 21 Feb: Alasan ingin membantu syarikat-syarikat milik kaum Bumiputera dengan memberikan tender terhad telah dihentikan serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan terdapat dasar yang membolehkan tender terhad dibuat, namun ia tidak membolehkan syarikat terlibat menyalurkan wang peribadi atau kepada mana-mana parti politik.
“Untuk mengekang dan menghalang tindakan berterusan itulah sebabnya mengapa di Kementerian Kewangan kita telah tetapkan supaya proses tender lebih telus amalannya kerana sebelum ini dengan menggunakan peluang kononnya atas membantu Bumiputera maka disonglapnya wang ini dan ini tidak lagi boleh diizinkan.
“Saya nak jelaskan bahawa ada dasar untuk membantu Bumiputera. Boleh adakan tender terhad di kalangan Syarikat Bumiputera tetapi tidak boleh digunakan dengan alasan membantu Bumiputera dan meminta syarikat-syarikat itu memberi wang kepada peribadi atau parti seperti mana amalan yang telah berlaku sebelum ini.
“Amalan ini telah dihentikan di bawah saya dan Kementerian Kewangan dan juga kementerian-kementerian lain yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri.” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau memberi maklum balas kepada soalan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bertanya mengenai isu Pandora Papers yang telah timbul minggu lepas ketika Persidangan Penggal Kedua Parlimen Ke-15.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada badan-badan yang diberi tugas untuk menyiasat perkara berkenaan termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
“Saya berpuas hati dengan langkah yang telah diambil kerana perkara ini memerlukan tindakan yang tegas,” tambah Anwar. – TVS