KUCHING, 20 Feb: Sarawak terus menjadi pilihan destinasi pelabur luar dengan pembangunan pesat, lokasi strategik dan polisi perniagaan yang stabil serta kekayaan sumber semula jadi di wilayah ini.
Beberapa pemilik perniagaan dan usahawan dari Singapura yang ditemui TVS, menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak dalam pelbagai sektor.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Watch Water (S) Pte Ltd, Dr Ivy Heng, lokasi strategik antara Singapura, Sarawak dan Indonesia menarik minat pihaknya untuk melabur dalam sektor penyediaan air terawat.
“Banyak pelabur dari Singapura ingin memasuki pasaran besar di Sarawak kerana lokasinya yang dekat dengan ibu negara Indonesia yang baharu iaitu di Kalimantan.
“Ini adalah kawasan yang mempunyai sumber yang sangat baik, saya fikir adalah baik untuk kita melihat perkara ini. Misalnya, perniagaan syarikat saya adalah rawatan air, jadi saya fikir Sarawak mempunyai potensi untuk kami melakukan pelaburan, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sejurus tiba dari Singapura bagi menghadiri program pertukaran perniagaan dan budaya unik anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS).
Turut senada, Pengarah Syarikat JS Insurance Agency Pte Ltd, Johnson Seow, yang memberitahu begitu ramai pelabur dari Singapura yang mahu menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan baharu mereka disebabkan lokasinya yang strategik dan meyakinkan untuk tempoh jangka masa panjang.
“Saya fikir kita mahu melakukan beberapa kerjasama kerana Singapura dan Sarawak begitu dekat.
“Banyak perkara yang kita boleh terokai bersama. Bukan saya seorang sahaja mahu melakukan pelaburan, tetapi rakan-rakan saya turut mahu bersama-sama ikut serta.
“Keberadaan kita di sini adalah untuk mengetahui secara terperinci apa yang dapat ditawarkan negeri ini kepada para pelabur,“ ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai acara yang dianjurkan STATOS tersebut, ujar Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan, ia merupakan platform kepada Sarawak untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dalam pelbagai bidang menerusi jalinan kerjasama dengan usahawan dan pemilik perniagaan dari Singapura.
“Kita berharap diakhir program ini nanti akan ada usaha sama dari kedua pihak terutama dalam industri pelancongan.
“Saya juga percaya, para peniaga akan membeli produk tempatan Sarawak dan kita akan menjadi pengeksport produk tempatan kita ke Singapura dan negara lain, “ jelasnya.
Seramai 52 usahawan dari Singapura berkampung di bandaraya ini dari 20 hingga 24 Februari untuk mempromosikan perkhidmatan serta berkongsi pengalaman mengenai landskap perniagaan di sini.
Kumpulan usahawan terbabit merangkumi mereka dari pelbagai latar belakang, seperti F&B, logistik, pembungkusan dan pelbagai lagi. -TVS