KUCHING, 20 Feb: Sarawak Motorsports Association (SMA) menggalakkan kelab permotoran yang ada di Sarawak untuk menyertai persatuan itu yang merupakan badan kawal selia.
Dalam Mesyuarat Tahunan SMA yang kedua pada hari ini, Presiden SMA, Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim berkata, mana-mana kelab yang menjadi ahli kepada SMA akan diberi pelbagai kelebihan dan kemudahan dalam menganjurkan acara permotoran serta di bawah kawalan selia mereka dengan kerjasama Motorsport Association Malaysia.
“Mesyuarat ini mengalu-alukan kerjasama daripada semua kelab permotoran di Sarawak untuk menyertai SMA. Jadi kita mencadangkan SMA ini dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu di bahagian utara merangkumi Miri, Bintulu, Lawas dan Limbang. Bahagian tengah merangkumi Sibu, Kapit, Bintangor dan Sarikei . Manakala, bahagian selatan merangkumi Samarahan, Kuching, Serian. Tujuan SMA mudah sahaja iaitu menjadi badan kawal selia bagi memberi kebenaran bagi melakukan suatu perlumbaan dengan memberi latihan. Kita tidak akan mengadakan festival kerana festival kita serahkan kepada kelab tetapi kelab tersebut mestilah berada di bawah naungan SMA.
“SMA akan memberi bantuan dari segi latihan, permohonan permit daripada polis, kementerian, bomba dan sebagainya. Kelab-kelab yang ingin menjadi ahli SMA mesti mendaftar di bawah Suruhanjaya Sukan Malaysia. Pastikan bahawa kelab tersebut adalah ahli yang aktif dan sah. Tahun ini, Motorsport Association Malaysia akan membuat lebih banyak latihan sekali gus dengan festival. Jadi, kami akan bekerjasama dengan kelab permotoran yang menjadi ahli SMA ,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Sarawak Motorsports Association (SMA) di Kozi Square di sini, hari ini.
Selain itu tambah beliau, tujuan utama mesyuarat itu diadakan adalah bagi membincangkan perkara berkaitan penganjuran sukan permotoran di seluruh Sarawak serta rancangan lanjut mengenai acara-acara yang akan datang.
Beliau berharap dengan badan kawal selia seperti SMA akan menjadikan acara permotoran di Sarawak lebih kompetitif dan profesional setanding dengan acara permotoran bertaraf antarabangsa.
“Kita boleh saling bekerjasama untuk membuat sukan permotoran di Sarawak ini lebih berkembang lagi. Kementerian Belia dan Sukan Sarawak meneruskan kerjasama dengan menyokong SMA dengan memberi tapak tanah bagi membina litar F3 seperti yang disebut pada pertama kali menubuhkan SMA. Saya percaya kerjasama ini akan membuatkan hasrat kita tercapai,” katanya lagi.
Sebagai permulaan bagi tahun ini, SMA akan menganjurkan Borneo Star Drift Battle yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Mac ini di La Promenade Mall, Kuching.
Turut hadir bersama Timbalan Presiden SMA, Afiq Fadhli Narawi, serta Jawatankuasa dan Ahli Kelab Gabungan SMA.-TVS