JAKARTA, 20 Feb: Letupan besar berlaku di Kabupaten Blitar, Jawa Timur, dipercayai daripada tempat pembuatan mercun pada jam 10.30 malam waktu tempatan semalam.
Sekurang-kurangnya 25 rumah musnah akibat letupan itu yang mengorbankan empat orang.
Menurut Ketua Polis Kota Blitar, AKBP Argowiyono, pihaknya mengesyaki letupan itu berpunca daripada letupan bahan pembuatan mercun.
“Laporan yang kami terima, salah sebuah rumah merupakan tempat mengeluarkan mercun, jadi disyaki letupan itu daripada bahan mentah mercun sehingga agak kuat dan menyebabkan kerosakan teruk,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, enam orang lagi cedera dalam letupan itu dan kini operasi mencari mangsa di tempat kejadian yang tertimbus runtuhan rumah masih dijalankan. -TVS