GEORGE TOWN, 19 Feb: Seorang anggota polis ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan pada beberapa bahagian badan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa berpangkat Sarjan itu ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 3.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
“Terdapat kesan tembakan pada leher, kepala dan dada si mati berusia 51 tahun.
“Polis turut menemukan sepucuk pistol berada bersama si mati yang bertugas di balai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes masih dalam siasatan dan orang awam dinasihati tidak menyebarkan sebarang spekulasi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi urusan bedah siasat.
Difahamkan anggota yang berasal dari Sarawak itu telah berkhidmat bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak hampir 32 tahun.
Mangsa meninggalkan seorang balu dan tiga orang cahaya mata. – TVS