GEDONG, 19 Feb: Seramai 35 penduduk dari daerah Gedong menawarkan diri sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan menyertai Kursus Asas Civil Defense Emergency Respone Team (CDERT) yang diadakan bermula Jumaat dan berakhir hari ini.
Objektif kursus yang diadakan pertama kali di Gedong pada tahun ini adalah untuk mempersiapkan penduduk terutama golongan belia di daerah itu menjadi sukarelawan kumpulan pertama (first response team) yang membantu di lokasi kejadian atau bencana sebelum pihak berkuasa lain sampai.
Pegawai APM daerah Simunjan, Leftenan Muhammad Elyas Abdul Rhanie berkata, kursus asas itu penting bagi memastikan penduduk di daerah Gedong bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Ilmu yang diajar selama tiga hari ini oleh tiga pegawai APM bersama beberapa anggota berlainan pangkat dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan berguna ketika berdepan kejadian tidak diingini.
“Selain itu, kami juga ingin mempersiapkan sukarelawan di daerah ini yang menjadikan pasukan pertama bertindak tiba di lokasi kejadian ketika berlaku musibah atau bencana,” katanya.
Beberapa kursus diterapkan dalam latihan ini, antaranya latihan asas menyelamat, asas memadam kebakaran dan asas bantuan pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).
Peserta kursus, Aiman Nazrullah Zulkipli berusia 20 tahun berkata, dia gembira mengikuti kursus itu yang disifatkannya ilmu yang berguna ketika berdepan situasi kecemasan.
“Saya sememangnya suka kerja sukarelawan dan membantu golongan yang ditimpa bencana.
“Kursus ini memberikan saya ilmu pengetahuan yang betul dalam membantu terutama ketika berlaku kejadian tidak diingini seperti tercekik atau kebakaran,” katanya.
Majlis penangguhan kursus itu diadakan di Dewan Masyarakat Gedong pagi tadi,Turut disampaikan vest keselamatan CDERT kepada wakil peserta dan sijil penyertaan kursus. – TVS