KUALA LUMPUR, 18 Feb: Benteng hakisan pantai perlu dibina di Beting Maro bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku melibatkan penduduk setempat khususnya di Kampung Semarang.
Menurut Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, penduduk mulai bimbang dengan keselamatan mereka susulan beberapa insiden runtuhan tanah berhampiran kediaman mereka.
Perkara mengenai pembinaan benteng tersebut katanya, akan diusulkan kepada kementerian berkaitan dalam sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
“Kalau kita lihat keadaan sekarang di Kampung Semarang, sebuah masjid sudah ranap tanahnya dan tapak tanah perkuburan di kampung sudah mula terhakis.
“Saya bertekad untuk membawa perkara ini kepada kementerian yang bertanggungjawab supaya kita dapat melakukan langkah intervensi untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada TVS.
Shafizan juga menyatakan langkah proaktif telah diambil melibatkan kerja-kerja yang akan diterajui oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak untuk menganalisa masalah hakisan tersebut.
“Kerja-kerja analisa tersebut akan dilakukan seawal bulan April tahun ini.
“Sama-sama kita berdoa supaya usaha membina benteng ini akan dipermudahkan untuk kebaikan masyarakat di Kampung Semarang ini,” katanya. -TVS