KUALA LUMPUR, 18 Feb: Satu sesi dialog akan diadakan bersama golongan belia di kawasan Batang Lupar dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, dialog tersebut turut akan berfungsi sebagai platform percambahan idea bagi mewujudkan program-program yang dapat memberi manfaat kepada golongan tersebut khususnya dalam bidang kemahiran.
“Kalangan belia di kawasan Batang Lupar sudah menunjukkan minat dalam beberapa bidang seperti pertanian, sukan dan ekonomi, kepentingan sesi dialog ini adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara wakil rakyat dan golongan belia.
“Melalui sesi dialog tersebut, kita boleh merancang untuk mengadakan program seperti kursus, ekspo dan sebagainya untuk mengisi masa mereka dengan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah,” katanya.
Katanya, ia adalah salah satu cara untuk mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang kurang sihat ataupun tidak berfaedah yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat secara amnya.
Selepas sesi dialog itu diadakan, Shafizan akan merangka satu kalendar di mana setiap bulan ada pengisiannya untuk golongan belia bagi mengisi masa lapang mereka dengan lebih efektif. – TVS