JAKARTA, 18 Feb: Seramai 21,846 orang di beberapa kawasan di Kota Solo, Jawa Tengah, terpaksa berpindah selepas kediaman mereka ditenggelami banjir dengan ketinggian paras air mencecah 1.5 meter berpunca daripada limpahan air sungai Bengawan Solo selepas hujan lebat di bandar itu sejak dua hari lalu.
Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) mencatatkan sebanyak 13 wilayah di kota itu terjejas banjir, sehingga kini paras air yang tinggi masih membanjiri wilayah berkenaan.
Menurut jurucakap BNPB, Abdul Muhari, dianggarkan jumlah mangsa yang dipindahkan berpotensi meningkat, kerana banjir yang berlaku sejak semalam semakin buruk.
“Kami kini sedang meneruskan pengumpulan data selanjutnya dan cuba menyelamatkan masyarakat yang terjejas banjir sebagai keutamaan untuk dipindahkan,” katanya.
Muhari berkata, sehingga kini pasukannya masih menjalankan proses memindahkan mangsa yang terjejas dan telah menyediakan beberapa pusat pemindahan.-TVS