KUCHING, 17 Feb: Pasukan Kuching City FC (KCFC) mengekalkan warna putih dan hijau sebagai jersi utama pasukan itu pada kempen Liga Super 2023.
Jersi berkenaan diperagakan oleh pemain berpengalaman skuad The Cat, Joseph Kalang Tie pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain malam ini.
Bagi jersi kedua pula yang akan digunakan ketika aksi di tempat lawan, skuad itu memilih warna jingga dan digayakan oleh pemain importnya, Abu Kamara.
Sementara itu, jersi ketiga yang terdiri daripada kombinasi warna unggu dan merah jambu pula dipakai oleh pemain import Jepun, Yuki Tanigawa.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Tebingan Sungai Kuching, di sini, malam ini.
Turut hadir, Pengerusi Kuching City FC (KCFC) Fazzrudin Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Sementara itu antara pemain yang diumumkan untuk membawa cabaran KCFC termasuklah Mohamad Alif Hasan, Muhammad Adam Shreen Tambi dan Diego Bagio Test.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu juga berjaya mengikat bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali selain bekas pemain PKNS FC, Mohd Qayyum Marjoni Sabil.
Selain itu, barisan pemain import yang memperkuatkan pasukan termasuklah Julian Garcia Schwarzer dari Australia, Aylton Alemao dan Ferreira Dos Santos (Brazil) serta Mihailo Jovanovic dari Serbia.
KCFC akan membuka kempen Liga Super 2023 menentang Kelantan FC pada 25 Februari di tempat lawan. -TVS