SERIAN, 16 Feb: Seramai 544 peserta termasuk dari luar negara mengesahkan penyertaan mereka pada acara larian denai, Silabur Ultra Rail 2023 pada 19 Mac depan.
Ketua Unit Sosial Bahagian Serian, Wee Chung Yee berkata, acara berkenaan akan berlangsung di Kampung Lobang Batu, Tebedu dengan menampilkan empat kategori iaitu lapan kilometer (km), 15 km, 30 km dan 60 km.
Katanya, daripada keseluruhan peserta, 40 peratus dari Sarawak manakala selebihnya pelari dari seluruh negara.
“Selain itu acara ini akan turut disertai oleh 100 peserta dari 18 negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Afrika Selatan, Kanada dan beberapa negara Eropah,” katanya pada sidang media acara berkenaan di sini hari ini.
Menurutnya, larian berkenaan akan menguji kekuatan mental dan fizikal peserta membabitkan laluan berbukit, anak sungai dan kawasan ladang di sekitar Kampung Mayang Kawan, Kampung Lobang Batu, Kampung Enkeroh dan persimpangan Kampung Batu Rekang.
Sementara itu, Chung Yee berharap, acara berkenaan yang dianjurkan kali pertama oleh Alpha Sports Event akan dapat mempromosikan Serian terutamanya Kampung Lobang Batu sebagai tempat wajib dikunjungi oleh pencinta alam semula jadi.
“Penganjur juga berharap agar aktiviti ini dapat dijadikan acara tahunan malah menyasarkan penyertaan antara 800 hingga 1,000 peserta pada tahun depan,” katanya. -TVS