MUKAH, 15 Feb: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Alza yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 118, Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Sibu-Bintulu di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 30 tahun terbabit sedang dalam perjalanan dari Selangau menuju ke Bintulu telah bertembung dengan kenderaan mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat impak kemalangan itu, mangsa didapati tersepit dan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.
Muhamad Rizal memberitahu mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tatau sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa, Chendang Umok, 47, katanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Arip.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -TVS