KUCHING, 13 Feb: Rakyat di kawasan pedalaman perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan lesen digital yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) baru – baru ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.
Dennis berkata, tempoh masa itu diperlukan kerana akses internet terhad di kawasan itu sekali gus menyukarkan pemilik kenderaan mempraktikkan polisi baharu berkenaan.
“Inisiatif itu bagus, cuma saya berharap agar MOT kekalkan ia sebagai pilihan kerana tidak semua dapat mengikutinya.
“Sekiranya pelaksanaannya diwajibkan, saya minta supaya diberi tempoh terlebih dahulu bagi rakyat menyesuaikan diri terutama kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Ini kerana kita tidak mahu rakyat berasa terbeban dengan inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan yang sebenarnya bertujuan memudahkan urusan,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Pada Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada cermin hadapan dan pemandu tidak perlu membawa lesen memandu secara fizikal.
Sebaliknya, beliau berkata, pemilik dan pemandu kenderaan kini boleh menggunakan mod paparan digital iaitu menerusi aplikasi MyJPJ.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mengulas lanjut, Dennis berkata, kerajaan perlu memfokuskan aspek membangunkan rangkaian internet di kawasan luar bandar terlebih dahulu sekiranya ingin melihat rakyat menerima kaedah pendigitalan.
Sementara itu, Dennis turut mengesyorkan Kerajaan Persekutuan supaya mengadakan sesi dialog terlebih dahulu bersama dengan wakil rakyat di kawasan luar bandar sebelum pelaksanaan sesuatu polisi yang melibatkan pendigitalan.
Kata beliau, ia penting bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar tidak ketinggalan serta tidak wujud jurang yang ketara dengan penduduk di kawasan bandar.
“Saya fikir banyak polisi tidak begitu mengambil berat akan situasi di pedalaman kerana dilihat tidak sesuai dengan penduduk yang menetap di kawasan luar bandar.
“Saya berharap selepas ini agar wakil rakyat di kawasan pedalaman dijemput oleh pihak kementerian untuk berbincang dan mendengar pandangan sebelum sesuatu polisi dirangka,” katanya.
Asas kepada permintaan itu kata Dennis ialah kerana mereka lebih memahami keperluan penduduk di kawasan pedalaman. -TVS