SIBU, 13 Feb: Dua pekerja kapal ditemui maut dipercayai akibat terhidu gas beracun di dalam ruangan bawah sebuah kapal yang berlabuh di tebing Sungai Batang Lebaan, dekat sini pagi tadi.
Kedua-dua mangsa lelaki dikenali sebagai Kiam Ngit dan Dhananth Koviri yang masing-masing berusia 37 dan 23 tahun.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba 1 Janggan Muling berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 10.30 pagi.
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diarahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di situ, pasukan penyelamat yang memakai peralatan pelindung diri (PPE) serta alat pernafasan membuat size-up dan mendapati dua lelaki tidak sedarkan diri dalam ruangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Janggan berkata, Â kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu di tempat kejadian.
Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 1.18 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Setakat ini, katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -TVS