KUALA LUMPUR, 13 Feb: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Baca artikel berkaitan di sini:
- 1. Agong zahir impian memandu di PAN Borneo, bertemu rakyat Sabah dan Sarawak
- 2. Agong titah usaha perkasa ekonomi di Sabah dan Sarawak perlu dipergiat
Titah Al – Sultan Abdullah, ini melibatkan tuntutan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak mengenai perlaksanaan MA63.
Seri Paduka bertitah tindakan segera berkenaan termasuk pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik.
“Seterusnya menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian menerusiTitah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada masa sama, Baginda bertitah agar usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan. -TVS