KUALA LUMPUR, 13 Feb: Kerajaan sedang melakukan sesi libat urus bersama pemain industri pakaian bagi membolehkan jualan barang keperluan itu kepada pengguna dengan harga yang lebih murah, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup itu berkata, inisiatif berkenaan menyerupai Menu Rahmah yang diperkenalkan baru – baru ini yang menyaksikan semakin banyak premis makanan menawarkan harga lebih murah.
Ketika ini katanya, beberapa perbincangan sedang diatur dan keputusan dijangka akan dimuktamadkan sebelum April depan.
“Kerajaan mendapati bahawa Menu Rahmah ini telah memberi rangsangan kepada pemain industri makanan yang kini sudah memberi pelbagai pilihan dalam Menu Rahmah mereka termasuk Minuman Rahmah, Burger Rahmah, Kek Rahmah malah ada yang tawarkan Durian Rahmah.
“Kita akan melanjutkan sesi libat urus dengan pemain industri pakaian dan makanan yang lain supaya apabila menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti, pengguna dapat membeli barang keperluan mereka dengan harga yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Jelajah Menu Rahmah anjuran Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Fuziah Salleh.
Mengulas lanjut Salahuddin berkata premis makanan segera di negara ini antara yang bakal menawarkan Jelajah Menu Rahmah tidak lama lagi.
“Sesi libat urus diadakan akan diadakan dengan beberapa buah restoran pada minggu depan.
“Saya akan namakan lagi industri makanan segera yang menawarkan Menu Rahmah,” katanya. – TVS