MELAKA, 13 Feb: Pasukan Selam Ranjau KD Duyong, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Selasa lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata pasukan tersebut akan membantu selaman di kawasan pengesanan sonar yang telah ditanda oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) semalam.
“Pencarian hari ketujuh ini akan lebih tertumpu menggunakan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan PHN.
“Khidmat Pasukan Selam Ranjau akan digunakan bagi membantu selaman di kedalaman lebih dari 40 meter dengan armada barat telah mengkoordinasi pergerakan tim selam berserta peralatan bersama kapal TLDM dari Lumut, Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata 11 aset laut dari pelbagai agensi termasuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak membantu pencarian pada pagi ini.
Katanya orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.
Pada 7 Feb lepas, L/Kpl Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang. – TVS