Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat antarabangsa di Singapura hari ini. Foto Facebook Menteri Besar Johor.

Johor berpotensi terima pelaburan RM15 bilion dari syarikat antarabangsa di Singapura

ByBernama

SINGAPURA, 12 Feb: Johor berpotensi menerima pelaburan bernilai di antara RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa antaranya AirTrunk, sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun; dan juga syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

“Selain mereka, saya juga telah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari negara,” jelas beliau dalam kemas kini laman Facebook rasminya hari ini yang turut disertakan foto pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat tersebut.

Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura yang bermula hari ini, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik di antara republik itu dengan negeri Johor.

“Insya-Allah, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil daripada pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Kesemua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global,” katanya lagi.

Menurut beliau, kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan Persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

Pertemuan itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Selain itu, hadir sama Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan; Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim dan Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan