TAWAU, 12 Feb: Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan terdampar di kawasan pantai berlumpur di Jalan Pesisiran Tawau, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, mayat kanak-kanak Palauh yang dikenali sebagai Lydia berumur empat tahun itu ditemukan kira-kira pukul 1.37 petang.
Katanya, mayat itu ditemukan oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada polis.
“Saksi yang juga ibu mangsa memberitahu, dia menyedari anaknya hilang selepas terjaga daripada tidur di kawasan kaki lima Kompleks Industri Ba Zhong Tawau.
“Wanita itu memberitahu dia berusaha mencari anaknya di kawasan sekitar namun gagal,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jasmin memberitahu, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.53 petang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang memohon bantuan untuk mengambil mayat kanak-kanak tersebut.
“Pasukan bomba menggunakan tali dan beg mayat serta meredah lumpur sedalam tiga kaki untuk mengambil mayat itu sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. -TVS