Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aplikasi MyJPJ. Foto: Bernama

Kelemahan aplikasi MyJPJ diatasi sebelum pelancaran – Fahmi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ telah berjaya diatasi sebelum dilancarkan Jumaat lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia (CSM) telah mengenal pasti kelemahan tersebut semasa proses pembangunan aplikasi itu.

“Pihak CSM telah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita telah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.

“Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia telah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.

Pada Jumaat, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing yang berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen tersebut melalui aplikasi berkenaan yang dibangunkan secara dalaman.

Loke berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal bagi warganegara.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan CSM juga telah digerakkan untuk untuk membuat pemantauan terhadap semua prasarana siber yang diguna pakai kerajaan, termasuk aplikasi dan laman web bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya pencerobohan.

“Dengan kepakaran CSM dan undang-undang yang lebih meluas, ini akan dapat membantu menjamin keselamatan siber rakyat, kementerian dan agensinya,” katanya.

Berhubung isu keselamatan siber, beliau menyeru agar kerajaan di rantau Asia Tenggara untuk bekerjasama membendung jenayah siber yang bersifat rentas sempadan khususnya jenayah penipuan.

“Sejumlah daripada jenayah siber ini tidak berlaku dalam negara kita, maksudnya ada panggilan dibuat dari luar negara tapi mangsanya rakyat kita. Jadi, ini perlukan satu kerangka di peringkat ASEAN,” katanya.

Menurut Fahmi, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3) dan beberapa negara menyatakan sokongan untuk menyelaraskan protokol serta kerangka undang-undang bagi memudahkan siasatan dan tangkapan melibatkan jenayah siber. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan