Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memeriahkan Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang bersama Persatuan Vui Neng Limbang. Foto: TVS

Kerancakan projek infrastruktur di Limbang bukti komitmen Kerajaan Sarawak

LIMBANG, 12 Feb: Kerancakan projek pembangunan di bahagian ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memajukan wilayah utara negeri ini, kata Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pelbagai projek pembangunan sedang dan bakal dilaksanakan di sini.

Katanya, terdapat juga beberapa projek yang sudah siap dan manfaatnya mula dinikmati rakyat.

“Pembangunan rancak ini merupakan hasil keprihatinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga anak jati Limbang.

“Sekarang kita menunggu banyak lagi projek yang akan datang namun projek yang paling diperlukan ialah pembinaan jalan yang sudah diluluskan malah ada yang telah mula dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang bersama Persatuan Vui Neng Limbang di Dewan Suarah Limbang di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, pembangunan asas tetap menjadi keutamaan kerajaan.

Katanya, ini termasuk pembinaan jalan raya ke Miri tanpa perlu melalui Brunei serta projek naik taraf jalan raya dua lorong kepada empat lorong ke Bandar Limbang sepanjang 1.2 kilometer (km).

“Selain itu terdapat juga pembinaan Tebingan Sungai Limbang yang terpanjang di Sarawak iaitu 1.8 km serta jambatan dan projek pembangunan lain,” katanya.

Pada masa sama, Dr Abdul Rahman optimis yang projek-projek berkenaan akan dapat disiapkan menjelang 2024 manakala jalan ke Miri dijangka siap pada 2028.

“Ini satu cabaran kepada kita untuk menarik orang datang ke Limbang, sebab itulah banyak projek kita buat untuk melonjakkan sektor pelancongan,” katanya lagi. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan