PETALING JAYA, 11 Feb: Sarawak menyertai aktiviti perdagangan baharu iaitu penyimpanan karbon yang dijangka menjadi sumber pendapatan baharu negeri.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini dianggarkan mempunyai kapasiti 30 trilion kubik meter untuk penyimpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya.
Beliau memberitahu hasrat Sarawak dengan penjanaan pendapatan baharu diwujudkan sekali gus memasukkan elemen kelestarian alam sekitar ke dalam usaha pemulihan ekonomi.
Baca artikel berkaitan:
- JX Nippon teroka peluang baharu dalam bidang Penangkapan dan Penyimpanan Karbon di Sarawak
- Singapura, Sarawak bekerjasama dalam penangkapan, penyimpanan karbon dan kredit karbon
Tambah beliau inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah turut mewujudkan peluang untuk pelaburan dan pertumbuhan dalam ekonomi hijau.
“Baru-baru ini, Petronas Carigali Sdn Bhd sudah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pembangunan projek Kasawari CO2 Sequestration (CCS) di luar pesisir Bintulu, Sarawak dan dijangka akan mengurangkan 3.3 MtCO2e (tan metrik bersamaan karbon dioksida) setiap tahun, menjadikannya salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Asean Education Cities Conferences (AECC) 2023 di Universiti Sunway di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Beliau mendedahkan, baru-baru ini juga sebuah syarikat terkemuka dari Singapura, Korea Selatan dan Jepun telah menunjukkan minat mendalam untuk menyertai dan melabur dalam penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) CCUS di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu Sarawak sedang membangunkan pelan tindakan masyarakat rendah karbon di bandar dan pekan di Sarawak untuk mencapai matlamat kemampanan dengan menangani kebimbangan berkaitan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dan mempromosikan pilihan pengangkutan yang mampan.
“Kita juga telah membangunkan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang mempertimbangkan mobiliti karbon rendah dan infrastruktur bandar pintar untuk ibu kota Sarawak,” ujarnya.
Seterusnya Sarawak katanya juga merancang untuk membangunkan pelan induk bandar pintar yang serupa bagi kawasan bandar lain di Sarawak yang mengimbangi kelestarian alam sekitar dan pembandaran.
Oleh itu katanya, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan bakat dan menarik individu berkemahiran di negeri ini. – TVS