LIMBANG, 11 Feb: Komitmen tinggi dalam kalangan penjawat awam di sini mendapat pujian daripada Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut berterima kasih atas kesungguhan yang ditunjukkan mereka ini ketika memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Beliau mengakui Limbang amat bertuah kerana memiliki penjawat awam yang sentiasa memberi kerjasama cukup baik dengan pemimpin sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
“Saya selaku kapasiti ADUN Bukit Kota ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan-jabatan yang telahpun memberi kerja yang sungguh baik di sini kerana perkhidmatan anda menangani masalah di peringkat akar umbi,” Katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Penutupan Purnama Sport Carnival (PURSCAR) di sini pada Jumaat.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan semua agensi kerajaan di daerah Limbang, meskipun berdepan pelbagai masalah seperti kelambatan projek dan masalah lain.
Namun menurutnya masalah ataupun cabaran itu perlu diatasi secara kolektif dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk terus melaksanakan amanah yang digalas dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Memanglah ada projek lambat dan sebagainya tetapi kita selesaikan melalui bekerjasama dań selalu saya panggil untuk mesyuarat.
“Saya minta maaf dalam mesyuarat termarah, bergurau dan sebagainya tapi yang penting kita selesaikan masalah-masalah ataupun cabaran seterusnya kita dapat menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanah kita yang terletak di bahu kita dengan baik,” jelasnya. – TVS