MIRI, 10 Feb: Pelajar di negeri ini dinasihatkan agar seimbang melibatkan diri dalam bidang akademik dan kokurikulum, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan, Dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Hasrat sedemikian katanya seiring dengan seruan kerajaan yang memerlukan golongan kreatif dengan kemahiran insaniah untuk membangunkan ekonomi digital yang merupakan ekonomi baharu pada masa kini.
“Saya berasa sukan, akademik, badan beruniform dan juga pembelajaran, perlu diberikan keutamaan kepada mereka supaya mereka lebih berjaya”.
“Hal ini kerana, kita memerlukan orang yang kreatif sekarang. Kalau mereka tiada kemahiran seperti kemahiran insaniah, ia akan membuatkan mereka mengalami kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti”.
“Perkara itu akan menjadi masalah kalau kita hendak memajukan ekonomi digital kerana kita memerlukan golongan kreatif iaitu generasi baru yang lebih berilmu dalam setiap aspek untuk memajukan ekonomi digital,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kokurikulum SMK St Joseph Miri 2023 dan Penyerahan Cek Sumbangan di Hotel Dynasty, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengulangi beberapa inisiatif kerajaan dalam memastikan setiap anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik terutamanya untuk golongan B40 menerusi pemberian subsidi atau pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti selain penubuhan sekolah-sekolah antarabangsa.
Susulan perkembangan teknologi yang semakin pesat, Gerald menegaskan penggunaan teknologi kini tidak boleh diabaikan terutamanya golongan pendidik.
‘”Saya ingin menasihati para guru untuk mempelajari tren dan cara baharu untuk mendidik pelajar menggunakan teknologi seperti telefon pintar,” Katanya lagi.
Terdahulu, majlis menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Gerald yang berjumlah RM70,000 untuk pembinaan gim angkat berat dan RM10,000 untuk kebajikan para guru sekolah di sini. – TVS