KUCHING, 10 Feb: Seorang gadis cuma menyedari dua anak kucing ‘menumpang’ dalam ruangan enjin keretanya setelah tiba di tempat letak kereta di pejabatnya, CityONE di sini, hari ini.
Amirah Syazwani Shawel berkata, anak kucing berkenaan terperangkap dalam ruangan enjin mulai dari rumah di Petra Jaya ke CityOne yang jaraknya kira-kira 15 kilometer.
Beliau tiba di pejabat pada 9 pagi.
“Ketika keluar dari rumah tidak ada kedengaran bunyi kucing, tetapi cuma kedengaran selepas bersarapan. Saya ingatkan bunyi berkenaan datang dari luar kereta,” katanya kepada TVS.
Menurutnya, kucing itu bukan dipelihara keluarganya, tetapi anak dan ibu kucing berkenaan selalu berada di pekarangan rumah mereka.
Setelah sedar tentang anak kucing terperangkap dalam ruangan enjin keretanya, Amirah meminta bantuan rakan-rakan sekerja untuk mengeluarkannya tetapi gagal.
Susulan itu, mereka menghubungi anggota Bomba dan Penyelamat.
Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan dua anak kucing dengan selamat pada kira-kira 1:30 tengah hari.
Bomba turut berkata kejadian itu kerap berlaku kerana ruangan kosong memudahkan kucing memasuki ruang enjin kereta. – TVS