KUCHING, 9 Feb: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan bahawa beliau akan bertugas sebagai penyampai radio (DJ) Hot FM mulai Rabu depan.
Khairy atau mesra dipanggil KJ berkongsi poster di Instagramnya bertajuk ‘KJ Jadi DJ’.
Beliau akan bergandingan dengan Johan, Fara Fauzana dan AG menerusi segmen ‘bekpes hot’ yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat mulai 6 pagi hingga 10 pagi.
Sementara itu, Berita Harian Online melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prime Audio (MPA), Nazri Noran berkata, peluang menawarkan KJ sebagai penyampai radio, diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen ‘bekpes hot’ lebih segar dan relevan kepada pendengar.
“Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia,” katanya.