BATU NIAH, 9 Feb: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelam pukat yang tersangkut pada pembentung parit di sebuah ladang kelapa sawit di Suai, dekat sini, hari ini.
Robin Sempurai, 32, bersama seorang rakannya memeriksa pukat yang dipasang dalam parit namun mangsa bertindak menyelam dan tidak timbul semula.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi II, Rary Binjie berkata, kawasan pencarian tertumpu di tempat mangsa dilaporkan tidak timbul.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 12.02 tengah hari yang menyatakan seorang lelaki menyelam pukat tersangkut dalam parit dan tidak timbul.
“Setiba di lokasi pada 1.18 petang, pihak kami terus bertindak menjalankan operasi pencarian, namun belum menemui sebarang petunjuk mangsa,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, dua anggota bomba juga menggunakan tali yang diikat pada badan mereka ketika melakukan selaman semasa melakukan selaman di dalam parit yang berkedalaman kira-kira tiga meter.
Setakat jam 5 petang, mangsa belum dijumpai.
Operasi ditangguhkan pada 6 petang dan akan disambung semula pagi esok. – TVS