Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Sukma XX, MSN 2022, Sukan Sea 2021, Hanoi Vietnam, Sukan Komanwel 2022 Birmingham, England & Para Asean 2022 di sini, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Sarawak sedia anjur SUKMA 2024 – Abang Johari

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 9 Feb: Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ini kerana Sarawak mempunyai kemampuan sebagai penganjur sekiranya terdapat negeri lain tidak sanggup untuk menganjurkan temasya berkenaan.

“Mengenai dengan (tuan rumah) SUKMA, saya telah memaklumkan kepada Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ( Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak) kita terima sekiranya diberi ruang.

“Bagaimanapun beri kita masa kerana terpaksa menaik taraf venue sukan di sini.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu Sarawak menjadi tuan rumah, kita terima pada 2024,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif SUKMA XX, MSN 2022, Sukan Sea 2021, Sukan Komanwel 2022 dan Sukan PARA Asean 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.

Menurut Abang Johari, sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kos untuk menganjurkan SUKMA memerlukan peruntukan yang besar dan hanya negeri tertentu sahaja mampu melakukannya.

“Oleh itu Hannah memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan mahu mengadakan SUKMA di Kuala Lumpur sahaja.

“Saya kemudiannya mencadangkan agar selepas diadakan di Semenanjung Malaysia, keutamaan tuan rumah harus diberikan kepada Sabah dan seterusnya Sarawak untuk mewujudkan semangat Malaysia,” katanya.

Tambah Abang Johari, Sarawak begitu komited untuk membangunkan sektor sukannya ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat untuk menjadikan negeri ini maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada 2016 selepas menganjurkan kali pertama pada 1996. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan