KUCHING, 9 Feb: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik 10 orang Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan di ibu negara hari ini memaklumkan, pelantikan Mohamed Nazri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) itu dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran negara.
Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga graduan dari Licoln’s Inn, United Kingdom itu sebelum ini pernah dilantilk sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri Pembangunan Perusahaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Syed Md Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, Duta Besar Malaysia ke Holy See, Hendy Assan, Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah, Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Corina Peter Tiwet dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.
Selain itu turut menerima watikah perlantikan daripada Seri Paduka ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek, Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait, Alauddin Mohd Nor.
Upacara Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara, hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin. -TVS.