Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 23 nelayan warga asing ditahan di atas sebuah bot nelayan tempatan pada pemeriksaan di kedudukan 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini malam tadi. Foto: APMM

22 nelayan Kemboja ditahan tangkap ikan secara haram di perairan negara

GEORGE TOWN, 9 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 nelayan terdiri daripada 22 warga Kemboja dan seorang warga Thailand di atas sebuah bot nelayan tempatan di 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini malam tadi.

Penahanan menerusi Op Pertiwi dan Op Tanjung kira-kira pukul 8.10 malam itu dibuat selepas pasukan APMM melakukan pemeriksaan ke atas bot tempatan kelas C tersebut yang dilihat mencurigakan.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritm Abd. Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand dan bersama 22 kru warga Kemboja berumur antara 21 hingga 46 tahun.

Sebuah bot nelayan tempatan yang membawa 22 kru warga Kemboja dan seorang tekong warga Thailand ditahan di kedudukan 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini malam tadi. Foto: APMM

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati 13 daripada kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemilik bot turut didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing untuk menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyatan media hari ini.

Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, bot bersama kesemua kru dan kira-kira lima kilogram hasil laut kemudiannya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan lanjut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan