Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap ketika melancarkan 'Seminar on the New Initiatives to Enhance Sarawak's Construction Industry' di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. Foto: TVS

34 projek rakyat tertangguh kritikal, amaran serius Premier Sarawak kepada kontraktor

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 8 Feb: Projek pembinaan Jambatan Marudi yang merentasi Batang Baram di Bahagian Miri antara 34 daripada 212 projek rakyat tertangguh berstatus kritikal, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau projek cadangan tersebut telah tertangguh kira-kira tiga tahun ini selain projek naik taraf lima bulatan sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway yang tertangguh selama lebih kurang dua tahun.

Turut tertangguh selama dua tahun kata beliau ialah cadangan pembinaan Jalan Kampung Medong, Lebrassau dan Kampung Klid, Daerah Dalat, Bahagian Mukah.

“Selepas diberi taklimat oleh agensi pelaksana yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing, saya mendapati terdapat banyak isu dan cabaran yang dihadapi di lapangan termasuk kekurangan komitmen dan prestasi buruk kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya ketika melancarkan ‘Seminar on the New Initiatives to Enhance Sarawak’s Construction Industry’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

Beliau mendedahkan lagi antara projek rakyat yang tertangguh selama setahun pula ialah cadangan membina dan menyiapkan Muzium Pembangunan Limbang: Galeri Sejarah Pentadbiran Limbang, Sarawak dan cadangan pembinaan jalan dari Jalan Lubok Tranggas ke Kpg Gedong, Samarahan.

Sementara itu, beliau memberitahu terdapat tiga projek digantung, 29 lagi projek berada di belakang jadual manakala 149 projek pula direkodkan mengikut jadual.

Tambah Abang Johari, data tersebut merupakan dapatan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri yang dipengerusikannya sebelum ini di Bintulu dan Kapit.

Melihat kepada rekod berkenaan, beliau mengingatkan semua kontraktor di negeri ini agar serius dan lebih komited dalam melaksanakan projek di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Justeru, amat penting untuk kontraktor mengambil perhatian berhubung kapasiti dan keupayaan mereka apabila melaksanakan projek rakyat”.

“Kontraktor perlu memastikan bahawa langkah dan inisiatif yang diambil mestilah mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan teknikal,” ujarnya.

Tegas Abang johari kecekapan kontraktor akan menjadi kayu ukur dalam penyerahan projek rakyat selepas ini.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan