WELLINGTON, 8 Feb: Pihak berkuasa New Zealand merampas lebih tiga tan kokain yang ditemukan terapung di Lautan Pasifik, rampasan dadah terbesar di negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pesuruhjaya polis Andrew Coster berkata dadah 3.2 tan itu dianggarkan bernilai $500 juta New Zealand (AS$323 juta).
Kokain itu dijatuhkan di tempat transit di perairan antarabangsa, enam hari belayar ke timur laut New Zealand.
Dadah yang ditemukan itu bersamaan bekalan selama 30 tahun di New Zealand dan bekalan setahun  di Australia, kata Coster.
“Penemuan ini sudah pasti menjejaskan kewangan pengeluarnya di Amerika Selatan sehinggalah kepada pengedar produk ini,” menurut pesuruhjaya itu.
Berdasarkan saiz penghantaran, dadah berkenaan mungkin untuk bekalan ke Australia.
Belum ada tangkapan dibuat dan polis kini bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk meneruskan siasatan.
Rampasan dadah terbesar di New Zealand sebelum ini membabitkan sejumlah 613 kilogram methamphetamine pada 2022. – TVS