SRI AMAN, 7 Feb: Dua maut manakala lima lagi mangsa cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal, lori dan kereta MPV di Kampung Gua Ming dekat sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang terkorban ialah penunggang motosikal, Jerawi Gundam berumur 51 tahun dan penumpang MPV Valen Ting Hui Hui.
Bomba menerima panggilan pada 1.38 tengah hari.

“Akibat dari kemalangan tersebut, kenderaan MPV telah terbakar 100 peratus manakala lori telah terbakar hampir 20 peratus,” kata JBPM Sarawak menerusi kenyataan.
Tiga mangsa yang menaiki MPV mengalami cedera ringan. Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sri Aman.
“Dua mangsa cedera dihantar menggunakan EMRS ke hospital. Seorang lelaki dewasa (pemandu lori, Lee Nyuk Mui) melecur 90 peratus manakala seorang perempuan cedera ringan,” katanya.