SIBU, 7 Feb: Seorang pemandu van berusia 28 tahun patah kedua belah kaki dan mengalami luka terkoyak di sebelah muka kanan selepas van yang dipandunya melanggar sebuah lori kontraktor yang parkir di tepi Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika pemandu van terbabit sedang dalam perjalanan menghantar barang dari Sibu ke Kapit sekitar jam 8.45 pagi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba I Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 pagi.
“Setibanya di lokasi, pada jam 9.10 minit, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dan mendapati seorang pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu.
“Mangsa mengalami patah kedua-dua belah kaki dan mengalami luka terkoyak di bahagian muka kanan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan mengambil masa12 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan selamat.
“Berdasarkan maklumat, pemandu van gagal mengawal kenderaan sebelum terlanggar sebuah lori kontraktor yang menanam bunga di tepi jalan,” jelasnya.
Janggan berkata, mangsa kemudian di hantar oleh pasukan ambulans ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan setelah pasukan bomba memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum bertolak balik ke balai pada jam 9.42 pagi.- TVS