Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Cennet Sucu diselamatkan di bawah runtuhan hospital yang runtuh di Iskenderun, Turkiye pada 6 Februari. Foto: REUTERS/Umit Bektas

Gempa bumi kuat: Lebih 2,300 terbunuh di Turkiye, 1,300 di Syria, Ankara umum berkabung tujuh hari

ByBernama

DIYARBAKIR (Turkiye): Sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 yang lain cedera di 10 wilayah Türkiye berikutan dua gempa bumi kuat yang menggegarkan bahagian selatan negara itu pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Naib Presiden Fuat Oktay.

Gempa dengan magnitud 7.7 itu melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis pada awal pagi Isnin.

Seorang wanita berdiri berhampiran sebuah bangunan yang runtuh selepas gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye pada 6 Februari. Foto: REUTERS/Cagla Gurdogan

Satu lagi gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter yang berpusat di daerah Elbistan di Kahramanmaras berlaku pada 1.24 tengah hari (6.24 petang Waktu Malaysia).

Oktay berkata 7,840 orang diselamatkan daripada runtuhan oleh 11,022 anggota mencari dan menyelamat.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Kedutaan Turkiye hargai bantuan pantas kerajaan Malaysia dalam SAR gempa bumi
  2. 2. Doktor Malaysia di Gaziantep, Turkiye kongsi pengalaman hadapi gempa bumi
  3. 3.Angka korban meningkat lebih 500 di Turkiye, Syria selepas gempa bumi

Beliau berkata 338,000 mangsa kini ditempatkan di asrama, universiti dan pusat perlindungan.

Pada masa ini tiada ancaman tsunami terhadap pantai Mediterranean Timur Türkiye, menurut Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Askar Iraq dan pekerja persatuan Bulan Sabit Merah Iraq mengangkut barang-barang daripada sebuah trak untuk dihantar ke dalam pesawat bantuan kecemasan ke Syria untuk menyokong mangsa gempa bumi, di sebuah pangkalan udara tentera berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di Baghdad, Iraq, pada 6 Februari 2023. Foto: REUTERS/Ahmed Saad

Gempa kuat itu turut memusnahkan negara jiran Syria dengan pegawai kerajaan dan penyelamat melaporkan hampir 1,300 orang terbunuh dan lebih 2,400 yang lain cedera setakat ini.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata gempa bumi pada Isnin itu merupakan  “bencana terbesar” sejak gempa bumi Erzincan pada 1939.

Türkiye akan berkabung selama tujuh hari.

“Ekoran gempa bumi yang berlaku di negara kita pada 6 Feb, tempoh berkabung negara diisytiharkan selama tujuh hari. Bendera di seluruh negara dan pejabat perwakilan kita di luar negara akan dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad, 12 Feb,” lapor Agensi Anadolu memetik ciapan Erdogan di Twitter. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan