Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab pada Majlis Penutupan Program Pemimpin bersama Komuniti Sukan Rakyat Susur Jambu 2023 di Sarikei semalam. Foto TVS.

Yusuf berharap Sarawak dapat lebih banyak peruntukan menerusi Belanjawan 2023

SARIKEI, 6 Feb: Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab berharap Sarawak diberi peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 24 Februari.

Beliau optimis peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan rakyat termasuk di kawasan beliau.

Ahli Parlimen Yusuf Abd Wahab ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Pemimpin bersama Komuniti Sukan Rakyat Susur Jambu 2023 di Sarikei semalam. Foto TVS.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap bajet kali ini terus memberikan tumpuan terhadap usaha meningkatkan taraf sosioekonomi golongan sasar.

“Pada bajet kali ini, kita mengharapkan lebih banyak lagi peruntukan agar lebih banyak lagi projek yang akan datang ke Sarawak, terutama sekali peruntukan untuk pembangunan.

“Kalau biasanya kita mendapat RM5 bilion setiap tahun untuk pembangunan tetapi kali ini kita mengharapkan lebih banyak lagi kerana Sarawak merupakan negeri yang terbesar dalam Malaysia.

“Terdapat banyak lagi projek-projek pembangunan yang kita hendak lakukan di Sarawak supaya kemajuan di Sarawak setara dengan kemajuan negeri di Semenanjung,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Pemimpin bersama Komuniti Sukan Rakyat Susur Jambu 2023 di sini, semalam.

Jelas beliau, inisiatif bantuan amat penting bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat keadaan ekonomi yang mencabar.

“Inisiatif bantuan yang diberikan kepada penduduk seperti bantuan subsidi, kewangan, sara hidup dan sebagainya juga penting. Hal ini kerana keadaan ekonomi kita yang agak mencabar pada tahun ini dan bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat terutamanya penduduk yang berada dalam golongan B40 dan M40,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga mahu kerajaan komited melaksanakan projek pembangunan infrastruktur yang amat diperlukan oleh rakyat khususnya di pedalaman dan luar bandar.

Usaha itu katanya, berupaya mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.

“Bagi saya, kawasan Parlimen Tanjong Manis yang merangkumi hampir 90 peratus penduduk di kawasan saya adalah penduduk luar bandar. 

“Saya mengharapkan tumpuan juga diberikan pada projek infrastruktur seperti jalan, jambatan, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi supaya rakyat luar bandar pun dapat menikmati kemudahan seperti di kawasan bandar,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan