Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin (kiri) melawat pameran seni yang bertemakan 'ALAM' di The Ledge Art Gallery, 1Utama semalam. Foto: Bernama

Seramai 19 pelukis tempatan pamer karya dalam pameran ‘Alam’

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Seramai 19 pelukis tempatan bergabung tenaga menjayakan pameran lukisan yang bertemakan Alam Art Exhibition: An Artistic Journey into Malaysia’s Fauna, Flora and Forests anjuran sebuah persatuan pelukis Heart2Art.

Pameran yang berlangsung dari 30 Januari hingga 26 Februari itu menghimpunkan 134 karya pelukis tempatan, yang memaparkan keindahan alam semula jadi hutan di Malaysia yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

Seorang peserta yang menggunakan nama pena, Maba Jaffar berkata, sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni lukis, beliau tertarik untuk menghasilkan karya yang menggambarkan haiwan liar seperti orang utan, burung, dan harimau menggunakan teknik akrilik atas kanvas.

“Ia bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar kepada generasi akan datang, supaya bila mereka tengok lukisan saya satu hari nanti, mereka tahu binatang-binatang ini ada di negara ini dan melambangkan Malaysia,” katanya merujuk kepada lukisan harimau dan gajah yang dilukisnya.

Beliau yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, proses menghasilkan sekeping lukisan, biasanya mengambil masa lebih kurang empat minggu bergantung kepada jenis lukisan dan butiran yang terdapat lukisan tersebut.

Seorang lagi pelukis lakaran secara langsung Stan Lee Cheow Hee, 70, yang telah berkecimpung dalam dunia seni sejak 50 tahun lalu, berkata, setiap kali beliau melakarkan keindahan alam semula jadi di atas sekeping kanvas, ia menjadi terapi untuknya.

Pameran yang diadakan di The Ledge Art Gallery pusat beli-belah One Utama itu, dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sementara itu, Roslan berkata, Malaysia mempunyai ramai pelukis berbakat setanding dengan pelukis antarabangsa, justeru Bernama bersedia untuk memberi liputan bagi membantu pelukis tempatan mencipta nama mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Lukisan juga merupakan alat komunikasi penting, dalam konteks untuk kita menyampaikan maklumat.  Sebagai wartawan kita menulis, sementara mereka melukis dan menyampaikan mesej dari hati,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian pameran tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan