GEORGE TOWN, 5 Feb: Sebuah bot nelayan dari negara jiran bersama lima kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini menerusi Op Tanjung dan Op Pertiwi semalam.
Bot berkenaan ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas didapati menceroboh kawasan perairan negara bagi menangkap ikan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika pasukannya melakukan rondaan dan mendapati sebuah bot nelayan asing yang kelihatan mencuriga di dalam kawasan sempadan negara.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati ia berpangkalan di Pangkalan Susu, Sumatera Utara, Indonesia.
“Bot itu dikendalikan oleh lima kru lelaki warga Indonesia yang berumur antara 21 hingga 50 tahun.
“Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, bot bersama kru terbabit dan kira-kira 40 kilogram hasil laut yang sempat ditangkap kemudiannya dibawa ke jeti Limbungan Batu Maung di sini bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. – TVS