MIRI, 5 Feb: Empat nelayan berjaya diselamatkan ketika mereka hanyut dan berpaut pada tong ikan pada jarak 75 batu nautika dari Muara Sungai Miri selepas bot dinaiki karam dipukul ombak dekat sini, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim, Mohd Shafie Paing berkata, kesemua mangsa berusia antara 25 hingga 44 tahun mula ditemukan kapal Ultra Jaya pada jam 10 pagi sebelum mereka dipindahkan ke KM Tabah untuk dibawa ke jeti Marina Bay di sini.
“Kesemua mangsa kemudian dibawa menggunakan Bot Kilat APMM ke jeti Marina Bay dan diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, kesemua mangsa berada dalam keadaan lemah akibat hidrasi seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
“Berdasarkan keterangan mangsa, mereka keluar untuk memancing sejak 29 Januari lalu. Bot pancing yang mereka naiki karam setelah dipukul ombak pada awal pagi 30 Januari,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.
Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, Maritim Malaysia menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan. -TVS