Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Douglas (lima dari kanan) semasa sesi bergambar dengan tetamu kehormat dan hadirin. Foto: TVS

Projek saluran akses Kuala Baram ke Terminal Pelabuhan Miri tingkatkan aktiviti pelabuhan

MIRI, 5 Feb: Projek mengorek dan mendalam serta membina penghadang hakisan di kedua-dua belah saluran akses Kuala Baram menuju ke Terminal Pelabuhan Miri telah diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang membaca  teks ucapan Premier Sarawak di Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri di Eastwood Valley semalam berkata, projek tersebut di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 akan meningkatkan aktiviti pelabuhan dan kecekapan perkhidmatan di dalam negeri.

“Di bawah PCDS 2030 ini, terdapat beberapa projek pemangkin. Antaranya ialah meningkatkan produktiviti pelabuhan dan kecekapan perkhidmatan di negeri ini. Dalam hal ini, saya telah mengumumkan sebelum ini mengenai kelulusan saya terhadap projek mengorek dan mendalam serta membina penghadang hakisan di kedua-dua belah saluran akses Kuala Baram menuju ke Terminal Pelabuhan Miri.

Douglas bersama tetamu kehormat selesai melakukan acara Yee Sang. Foto: TVS

“Kedalaman dipertingkatkan sebanyak -5 meter carta datum (CD) serta julat pasang surut 2.0 hingga 2.5 meter, 70 peratus kapal boleh melalui saluran Kuala Baram dan Pelabuhan Miri boleh mengendalikan kapal kontena sehingga 1000 TEUs (panjang 160 meter) berbanding sekarang kira-kira 100 TEUS sahaja,” katanya.

Selain itu tambah beliau, projek bernilai RM238 juta bukan sahaja akan menyelesaikan masalah banjir, malah akan meningkatkan lebih banyak aktiviti perindustrian yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Projek ini akan membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan Marudi dan hulu Baram. Apabila siap, ia juga akan menjadi talian hayat baharu untuk lebih banyak aktiviti perindustrian termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Miri.

“Ini akan menyumbang kepada kos penghantaran, pengangkutan dan logistik yang lebih rendah sekali gus mengurangkan kos kepada pengguna. Saya boleh membayangkan bahawa Miri mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.

Dengan penubuhan syarikat penerokaan gas dan minyak sendiri iaitu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), kerajaan merancang untuk meninjau semula potensi di darat selain daripada aktiviti luar pesisir sebagai langkah memajukan lagi industri minyak dan gas di Miri.

Baca artikel berkaitan: PETROS, langkah awal Sarawak memantapkan industri minyak dan gas

Dalam pada itu, katanya, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah polisi inklusiviti yang sebahagian daripada PCDS 2030 juga telah menyumbang kepada Bahagian Miri sebanyak RM34,111,000 untuk 234 projek dan RM9,720,000 untuk 11 “Projek Rakyat”, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM43,831,000 untuk kesemua 245 projek.

Pada majlis itu Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada setiap dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Riam Road dan Sekolah Menengah Pei Min. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan