Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Majlis Menandatangani MoU antara JTS yang diwakili Pengarahnya Datu Abdullah Julaihi (duduk kiri) dan MYSA yang diwakili Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah (duduk kanan). Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

JTS, MYSA meterai MoU

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 4 Feb: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi perkongsian maklumat termasuk data imej satelit dengan resolusi 1.5 meter bagi menghasilkan peta litupan tanah lebih efisyen serta memperluaskan skop survei ke pelantar benua.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan Majlis Menandatangani MoU berkenaan pada Majlis Makan Malam LANDAS Summit 2023 anjuran JTS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Kerjasama itu menandakan bahawa JTS kini bakal memulakan peranan baharu untuk menjalankan tinjauan di pelantar benua negeri, yang selaras dengan pindaan Kanun Tanah Sarawak serta pengawasan ruang udara Sarawak di mana pelepasan karbon dioksida berlaku dan pengewangan serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Baca artikel berkaitan: CCUS mampu kurangkan pelepasan karbon berskala besar – Abang Johari

“Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Gan Kim Yong semasa lawatan saya ke Singapura baru-baru ini menyatakan kerajaan Malaysia tidak benar-benar mengkaji secara terperinci mengenai CCUS.

“Jadi saya memberitahu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa Sarawak telah melakukannya dan kami pergi ke London untuk mengetahui cara mengecas karbon yang disimpan melalui agensi Verified Carbon Standard (Verra) yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini adalah sumber baharu yang berkaitan dengan tanah. Sebab itu saya rasa kerjasama antara JTS dan agensi lain ini penting kerana tugas JTS mesti seiring dengan ekonomi baharu.

“Semuanya berada di atas tanah. Jika kita simpan (karbon) di pelantar benua, ia tetap merupakan sebahagian daripada tanah negeri ini.

“Bezanya, pelantar benua berada di bawah permukaan laut manakala daratan dapat berada di atas permukaan tanah, “ tegasnya lagi.

Abang Johari berkata, kerja ukur di pelantar benua akan dilakukan melalui penderiaan jauh (remote sensing).

“Saya tidak pasti sedalam mana baharu data tersebut dapat diperoleh, namun saya yakin kita akan dapat melihat apa yang berlaku di bawah permukaan laut,” tambahnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan