BINTANGOR, 3 Feb: Polis berjaya menyelesaikan kes pecah masuk sebuah gereja di Sungai Labas, baru-baru ini dengan penahanan tujuh lelaki tempatan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis, Sekam Anoi berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Menurutnya, tangkapan telah dilakukan di beberapa buah rumah panjang sekitar Batu 2 dan Batu 5 Jalan KJD Bintangor.
“Hasil semakan mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing mempunyai enam dan satu rekod jenayah lampau manakala lima yang lain tiada rekod jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, susulan penangkapan itu, polis berjaya menemui semula barang-barang hilang yang dilaporkan oleh pengadu.
“Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga denda,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan yang mencurigakan dan diminta segera menghubungi IPD Meradong di talian 084-693 222. – TVS