KUCHING, 3 Feb: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Daerah Siburan meningkat kepada 97 orang setakat 12 tengah hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata pertambahan itu adalah susulan pembukaan satu lagi PPS di Dewan Kampung Mundai pada 8 pagi tadi.
PPS Dewan Kampung Mundai menempatkan 25 orang dari tiga keluarga.
Terdahulu, PPS SK St Peter di Kampung Simpok dibuka pada 6 pagi dengan 72 orang dari 42 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri diramalkan hujan, manakala tidak ada hujan dijangka di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Limbang pada hari ini. – TVS