KUCHING: Varian Filipina atau varian P.3 virus COVID-19 dikesan di Sarawak, menurut Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG).
SCOVAG dalam satu kenyataan hari ini berkata varian itu dikesan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak dalam analisis penjujukan genom minggu lepas.
Pengarah IHCM Prof Dr David Perera berkata varian P.3 ditemukan dalam empat sampel diterima dari Kuching dan empat sampel dari Samarahan.
“Mutasi ini didapati mampu mengatasi keimunan daripada perlindungan menerusi pemvaksinan dan perlindungan jangkitan semula jadi serta mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi,“ kata Perera yang juga ahli SCOVAG.
Sementara itu, Perera berkata penyebaran tidak terkawal virus COVID-19 akan menjurus kepada kemunculan lebih banyak varian yang mungkin mendatangkan kesan ketara ke atas keberkesanan vaksin dan kebarangkalian jangkitan yang lebih teruk.
Beliau berkata perkembangan berterusan varian baharu COVID-19 menekankan keperluan untuk orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi.
“Usaha ini akan membantu memperlahankan penyebaran virus dan mengurangkan peluang perkembangan varian akan datang di dalam komuniti,” katanya.
Sejak wabak COVID-19 tercetus tahun lepas, IHCM berada di barisan hadapan menentang pandemik itu di negeri ini.
Ia diberi tugas melakukan ujian sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan di dalam virus itu.
— BERNAMA