KUCHING, 3 Feb: Rakyat terutama komuniti peniaga menarik nafas lega dengan pemberian diskaun antara lima hingga 25 peratus bagi bil elektrik menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang dilanjutkan bagi tempoh enam bulan lagi seperti yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Khamis.
Rata-rata pengusaha gerai makanan menyifatkan langkah itu amat bertepatan, memandangkan golongan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) ketika ini sedang bangkit dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca pandemik.
Bagi Rosman Yatim, keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap rakyat satu usaha yang murni selain menjaga kebajikan rakyat.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah memberikan bantuan sedemikian untuk peniaga-peniaga kecil di seluruh Sarawak”.
“Saya mewakili peniaga di Kubah Ria, mengucapkan terima kasih terhadap kerajaan Sarawak yang telah memberi sokongan dan bantuan kepada peniaga kecil di seluruh Sarawak,” kata Rosman kepada TVS di sini, semalam.
Sementara itu menurut Majidi Suud pengumuman Abang Johari meringankan bebanan peniaga dalam melaksanakan operasi perniagaan.
“Terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah meneruskan lagi bantuan ini dan saya harap ia akan dilanjutkan selepas ini,” ujar Majidi.
Untuk rekod, diskaun bil elektrik menerusi BKSS dimulakan sejak pakej BKSS 4.0 pada Oktober 2020 yang turut memperuntukkan diskaun bil air serta diskaun sewa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC). -TVS