KUCHING, 31 Dis: Kelebihan yang dimiliki Sarawak seperti lokasi strategik serta sumber semula jadi yang banyak merupakan antara kelebihan Sarawak untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah Sarawak memfokuskan kepada tenaga boleh diperbaharui juga merupakan potensi besar yang perlu terus diterokai ke arah mengembangkan ekonominya di rantau ini.
Katanya lagi, langkah berkenaan juga sejajar dengan impian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Sarawak untuk lebih proaktif memainkan peranan dalam pelaburan di Malaysia atau wilayah sekitar.
“Kabel dasar laut diusahakan Sarawak yang memerlukan bukan sahaja komitmen dari Sarawak tetapi juga memerlukan komitmen Kuala Lumpur atau Putrajaya dan juga sokongan daripada kerajaan Indonesia untuk memastikan laluan mereka ke Singapura itu turut dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan, Indonesia dan juga untuk memastikan saluran hidroelektrik ke Singapura itu termeterai.
“Ini merupakan satu bentuk keyakinan baru, dalam konteks pelaburan, dalam konteks asia tenggara,” katanya ketika dihubungi TV pada Isnin.
Selain itu, beliau turut percaya selain Singapura, potensi pelaburan di nusantara juga akan dimanfaatkan Sarawak sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.
“Ini merupakan satu peluang Sarawak bukan sahaja untuk membangunkan ekonomi setempat, membangunkan ekonomi Sarawak, memberikan sumbangan KDNK kepada negara tapi juga mampu memberikan limpahan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Sarawak, khususnya,” ujarnya.
Kelebihan dari segi kestabilan politik juga merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Sarawak. – TVS