Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Wang kertas RM20 disyaki palsu diterima salah seorang peniaga di Pasar Tamu Sibujaya. Foto: Peniaga Pasar Tamu Sibujaya

14 peniaga tertipu, polis siasat duit palsu RM20 di Pasar Tamu Sibujaya

SIBU, 31 Jan: Seramai 14 peniaga Pasar Tamu Sibujaya tampil membuat laporan polis selepas diperdaya seorang wanita yang menggunakan wang kertas palsu RM20 semalam.

Kes itu dikesan setelah salah seorang daripada peniaga terbabit mendapati sekeping wang kertas yang diterimanya tidak berkualiti dan disyaki palsu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis yang diterima daripada kesemua mangsa pada hari yang sama.

“Pihak kami dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Sibu telah menerima laporan polis daripada 14 peniaga Pasar Tamu Sibujaya berusia antara 40 hingga 50-an, berhubung wang palsu RM20 itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, salah seorang peniaga didatangi oleh seorang suspek dipercayai berusia 40-an yang ditemani seorang kanak-kanak perempuan telah membeli pelbagai barangan keperluan di pasar tamu itu.

“Seramai 14 peniaga di pasar tamu itu telah diperdaya selepas menerima wang kertas bernilai RM20 dengan nombor siri pendaftaran (CD:2748412) yang disyaki wang palsu,” jelasnya.

Zulkipli berkata, penggunaan wang palsu tersebut hanya dikesan oleh salah seorang peniaga selepas tiga jam kemudian setelah mendapati dakwat pada permukaan wang kertas RM20 berkenaan mula luntur.

“Ekoran daripada kejadian itu, salah seorang daripada mangsa telah memuat naik video berdurasi 40 saat secara ‘live’ di laman sosial agar orang awam terutama golongan peniaga lebih berwaspada ketika menjalankan urusan jual-beli dengan pelanggan terutamanya melibatkan penggunaan mata wang kertas RM20 yang mungkin wang kertas palsu,” katanya.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka dan kesemua wang kertas RM20 itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dianalisa.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan