KUCHING, 30 Jan: Satu lagi Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dicadangkan diwujudkan di sini bagi menampung keperluan ahli keluarga pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Cadangan yang diutarakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri turut mengambil kira Anjung Kasih sedia ada sudah lama serta memerlukan lebih banyak ruang.
“HUS memberi keutamaan kepada mereka yang datang dari jauh untuk mendapatkan perubatan, maka dengan itu kita memerlukan lebih daripada satu fasiliti untuk menempatkan pesakit dan penjaga pesakit.
“Kita memerlukan infrastruktur yang moden untuk mereka yang menginap di Anjung Kasih ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Anjung Kasih YKN di sini, hari ini.
Setakat hari ini 85,596 keluarga pesakit telah menggunakan perkhidmatan Anjung Kasih yang disediakan di 18 hospital kerajaan seluruh negara.
Di Sarawak selain daripada Hospital Umum Sarawak di sini, dua lagi Anjung Kasih adalah di Hospital Miri dan Hospital Sibu.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata lagi, Anjung Kasih merupakan projek pembangunan YKN dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penjaga pesakit tidak dikenakan bayaran memandangkan ia adalah untuk membantu keluarga pesakit yang kurang berkemampuan.
Dengan adanya Anjung Kasih, ahli keluarga yang menjaga pesakit ketika mendapatkan rawatan tidak perlu berulang alik dari rumah atau menginap di hotel.
Dalam pada itu, beliau memohon agar lebih banyak syarikat tampil menyumbang kepada Anjung Kasih menerusi YKN.
Anjung Kasih merupakan projek di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM).
“Kami tidak memperoleh peruntukan daripada pihak kerajaan untuk membantu pesakit dan membina infrastruktur, sebaliknya ia adalah inisiatif yang dibuat oleh YKN di bawah KPWKM,” katanya. – TVS